“Teori” mudah yang digunakan untuk mengenal pasti sama ada seseorang itu menipu atau berkata benar, dan lebih menarik, kaedah itu dikatakan berkesan sehingga kadar 95% !
Teruja?
Menurut James W. Pickens di dalam tulisan bertajuk The One Minute Closer, teori ini telah diguna pakai sebagai “peraturan” oleh Federal Bureau of Investigation and Scotland Yard di United Kingdom. Caranya tidak sukar malah menggunapakai konsep yang sangat mudah. Apa perlu dibuat ialah anda cuma perlu melontarkan satu soalan dan tindakan seterusnya ialah memerhatikan gerak mata individu terbabit sebelum dan ketika jawapannya diberi.
Secara dasarnya, jika seseorang yang ditanya itu bertindak balas dengan menjawab sambil kerap menjeling ke kiri dan ke atas, itu bermakna bahawa dia sedang berusaha mengingati sesuatu. Kesimpulannya, dia bercakap benar. Tapi sebaliknya pula jika dia asyik menjeling ke kanan dan ke atas, maka reaksi itu dikatakan petanda sebagai menipu atau percubaan untuk mengada-ngadakan cerita. Hmm... Cuma persoalannya, apa bolehkah kita mengawal reaksi spontan tubuh badan yang dikawal sepenuhnya oleh fungsi otak?
Bagi yang ingin tahu apa rasional di sebalik teori gerak mata tersebut, jawapannya mudah saja ! Otak kanan manusia yang mengawal pergerakan kiri tubuh (termasuk mata kiri) adalah bahagian tubuh yang menyimpan maklumat, manakala otak kiri yang mengawal pergerakan kanan tubuh (termasuk mata kanan) berfungsi menjana kreativiti serta imiginasi. Justeru, dari situ datanglah justifikasi bahawa jelingan ke kiri bermakna berkata benar dan jelingan ke kanan pula sebaliknya petanda kita sedang menipu – kerana terpaksa berhempas pulas mengerah kreativiti otak kiri untuk membina plot drama yang perlu kedengaran seperti benar dan meyakinkan !
Semestinya ramai yang musykil dan tidak bersetuju dengan teori ini, apa lagi kepada yang mahir melobi dan “menjual” kehebatan diri masing-masing untuk pelbagai tujuan, sama ada kerjaya, perniagaan, politil malah juga cinta. Walau apa pun, saya positif terhadap teori ini, tambahan bila menilai reaksi beberapa rakan lelaki yang sering mengeluh apabila tersalah memberi jawapan kepada buah hati. Manakan tidak, kamu menipu dengan mengada-ngadakan cerita sedangkan perkara yang tidak wujud ini akan disimpan oleh otak kanan. Justeru itulah apabila sesekali ditebak dengan soalan sama yang pernah diajukan sebelumnya, akan serta merta terpacul alasan baru atau cerita lain (hasil imiginasi otak kiri). Oh ! hati-hati ya !
Post a Comment